Mangsa banjir di Pahang, Perak, Kelantan turun
Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di Pahang, Perak dan Kelantan mencatat penurunan dengan jumlah mangsa di Johor kekal 32 orang setakat petang ini.
Perkembangan itu menyaksikan bilangan mangsa banjir di semua negeri berkenaan turun kepada 9,341 orang berbanding 10,154 tengah hari tadi.
Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata 4,908 mangsa daripada 1,266 keluarga berada di 23 pusat pemindahan di tujuh daerah terjejas banjir petang ini, berbanding 5,184 mangsa tengah hari tadi.
Jumlah mangsa tertinggi dicatatkan di Pekan iaitu 2,672 orang, Kuantan (877), Maran (848), Temerloh (247), Rompin (209), Bera (47) dan Bentong (lapan orang).
Sementara itu, laluan Bentong-Raub masih ditutup susulan hakisan teruk akibat arus deras di jambatan Kampung Baru Bentong. Pengguna dinasihat menggunakan jalan alternatif Bentong-Lebuhraya Karak-Cinta Manis-Sertik-Mempaga atau Lebu-Raub atau Sertik-Kuala Krau.
Di PERAK, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata terdapat 2,518 mangsa banjir di 13 pusat pemindahan di empat daerah iaitu Hulu Perak, Perak Tengah, Manjung dan Hilir Perak berbanding 2,572 tengah hari tadi.
Perak Tengah mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,891 orang diikuti Hilir Perak (450), Manjung (127) dan Hulu Perak (50).
Di KELANTAN, jurucakap MKN Kelantan berkata bilangan mangsa di 27 pusat pemindahan di negeri itu turun kepada 1,883 orang berbanding 2,366 setakat tengah hari.
Jumlah mangsa yang direkodkan di jajahan Kuala Krai ialah 1,016 orang, Gua Musang (674), Machang (100) dan Tanah Merah (93).
Di JOHOR pula, bilangan mangsa banjir di Segamat kekal 32 orang melibatkan lapan keluarga di dua pusat pemindahan setakat petang ini.
- Bernama
ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น